KUCHING, 13 Mac: ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis telah melawat ke tapak rumah panjang baharu 17 pintu Rh Chembol Tagai, Kampung Tinting Kubal, Titikah, Batu Lintang di Undop pada Jumaat.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada lawatan itu Harden menasihati para penduduk yang ingin mewujudkan rumah panjang baharu agar menyediakan dokumen sewajarnya.
“Ia melalui mesyuarat yang direkodkan dan mengandungi perkara penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan senarai ketua isi rumah yang bersetuju.
“Kerajaan sentiasa mengambil berat permintaan penduduk rumah panjang yang memerlukan bantuan dalam hasrat mereka mewujudkan kampung baharu,” katanya.
Justeru tambah Harden yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat, penduduk perlu akur dengan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah.
Antaranya seperti mengadakan mesyuarat terlebih dahulu, mengemukakan senarai nama ketua keluarga lengkap dengan nombor kad pengenalan dan menandatangani tanda persetujuan.
Pada lawatan tersebut juga, seramai 22 orang penduduk secara sukarela memohon mendaftar sebagai ahli Parti SUPP Cawangan Simanggang dan hasrat tersebut disambut baik oleh Harden selaku Pengerusi SUPP Cawangan Simanggang. ― DayakDaily