Dua lelaki ditangkap di Serian kerana disyaki memiliki, menyalahguna dadah

Dadah yang dirampas daripada dua suspek itu.

SERIAN, 13 Mac: Dua lelaki ditangkap dalam dua serbuan berasingan semalam kerana disyaki didapati memiliki dadah dan juga terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata serbuan pertama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Serian dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung Tarat Melawi.

Katanya, hasil serbuan menangkap seorang lelaki berusia 29 tahun yang berada di dalam sebuah bilik di rumah tersebut.


“Hasil pemeriksaan telah menjumpai tiga paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine yang dipercayai disembunyi suspek dianggarkan seberat 2.47 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, tangkapan kedua pula dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 20 tahun di sebuah rumah di Kampung Tarat Mawang.

“Suspek enggan membuka pintu bilik, memaksa anggota operasi memecahkan pintu bilik dan hasil pemeriksaan menemui sembilan paket plastik lutsinar dan 22 tiub ‘straw’ yang masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah methamphetamine dianggarkan seberat 10.37 gram,” katanya.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Pejabat BSJN IPD Serian untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (1)Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah.

“Selain itu, kedua-dua suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1))a) ADB 1953 kerana memasukkan dadah merbahaya ke dalam tubuh badan sendiri.

“Ini kerana hasil saringan urin yang dijalankan turut mengesahkan kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya. — DayakDaily