Kerajaan Negeri salur RM600,000 beli hasil tangkapan nelayan Sarawak

Dr Abdul Rahman ketika ditemui pemberita di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 18: Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)mengambil inisiatif membeli hasil tangkapan para nelayan dengan peruntukan RM600,000.

Menteri Muda Pertanian, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada Persatuan Nelayan Sarawak (PANESA) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

Katanya, ia adalah untuk memastikan para nelayan sentiasa memperolehi pendapatan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di sepanjang tempoh PKP ini, kita terima laporan bahawa para nelayan menghadapi masalah menjual hasil tangkapan mereka.

“Maka, kerajaan negeri dengan kerjasama LKIM, PANESA dan PNK telah mengambil inisiatif membeli lebihan tangkapan para nelayan.

“Pihak PANESA dan PNK akan menjual hasil tangkapan ini agar ia tidak menjejaskan pendapatan nelayan kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Pasar Nelayan Vista Tunku di Petra Jaya hari ini.

Tambah Dr Abdul Rahman, peruntukan khas berbentuk subsidi berjumlah RM60,000 telah diberikan kepada PANESA dan RM30,000 masing-masing kepada 18 PNK di seluruh negeri.

Menurut beliau, program telah berjalan dengan baik dan para nelayan dapat menjual hasil tangkapan mereka.

“Namun, nelayan tidak diwajibkan untuk menjual hasil tangkapan mereka kepada PANESA dan PNK dimana mereka juga boleh menjual kepada peraih dan orang ramai.

“Tetapi sekiranya ada lebihan, maka PANESA dan PNK akan ambil inisiatif membeli hasil tangkapan mereka,” katanya sambil memaklumkan bekalan ikan diseluruh negeri adalah mencukupi.

Ujar beliau lagi, para nelayan dibenarkan meneruskan aktivi menangkap ikan kerana ia merupakan keperluan asas.

Namun katanya, para nelayan digesa untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (POS) sepanjang tempoh PKP, iaitu mengamalkan penjarakan sosial dan memakai penutup mulut dan hidung.—DayakDaily

Dr Abdul Rahman(kanan) ketika lawatan kerja ke Pasar Nelayan Vista
Tunku di Petra Jaya.