Nelayan Buntal terima bantuan Peningkatan Pendapatan

Muhammad Faiz (kanan) di Program Peningkatan Pendapatan-Insentif Peralatan Penangkapan Ikan di Buntal.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Okt: Seramai 75 orang nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Buntal hari ini menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan-Insentif Peralatan Penangkapan Ikan berjumlah RM30,000.

Ia melibatkan bantuan peralatan nelayan iaitu kotak insulasi dan jaket keselamatan.


Bantuan telah disampaikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil sempena Majlis Rahmah Mesra MADANI yang diadakan di perkarangan pejabat PNK Buntal.

“Penyerahan bantuan ini adalah bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan bagi meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup mereka.

“Selain itu, bantuan ini juga bagi meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikatan,” kata Muhammad Faiz.

Sementara itu, sebanyak RM25,000 pula telah diperuntukkan bagi bantuan B40 kepada dua penerima berbentuk enjin sangkut, pukat hanyut dan kotak insulasi.

Dalam program yang sama, Muhammad Faiz juga berkesempatan untuk merasmikan Kubah Pengering Solar (Solar Dome) Pusat Pemprosesan Hasil Perikanan (PPHP) PNK Buntal.

Kubah Pengering Solar atau Solar Dryer Dome di Persatuan Nelayan Kawasan (PNPN Buntal adalah yang pertama di gunakan oleh PNK di Sarawak untuk mengeringkan belacan. — DayakDaily