Kerajaan negeri akan memberi geran hak milik secara percuma ke atas lot tanah pembesaran kampung, penempatan semula

Abdul Karim berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Raya anjuran PBB Batu Kawa, di dewan serbaguna Kampung Sinar Budi Baru kelmarin.

KUCHING, Julai 1: Kerajaan negeri akan memberikan geran hak milik tanah secara percuma kepada semua pemilik lot tanah pembesaran kampung dan penempatan semula di seluruh Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, pemberian geran hak milik tanah tersebut adalah lanjutan daripada keputusan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menghentikan pembayaran premium ke atas tanah-tanah berkenaan sebelum ini.

“Ketua Menteri telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk menguruskan supaya geran hak milik diserahkan kepada penduduk, di mana satu majlis akan diaturkan dalam masa terdekat. Geran ini akan diberikan tanpa bayaran,” katanya.


Selain itu, Abdul Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata kerajaan negeri juga akan mengembalikan wang semua pemilik tanah terbabit yang sudah membayar premium sebelum ini.

“Ketua Menteri sudah menetapkan sesiapa yang sudah membayar premium, wang mereka akan dikembalikan tetapi pemilik-pemilik ini harus memberi surat untuk memohon balik bayaran kepada JTS,” jelasnya.

Karim berkata sebelum ini, kadar bayaran premium ke atas lot-lot yang diagihkan kepada pemilik adalah minimum RM5,000 setahun dan ada yang menjangkau RM20,000 setahun.

Beliau memberitahu demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Raya anjuran Pengerusi PBB Batu Kawa, Datuk Ahmad Ibrahim bersama cawangan PBB Batu Kawa, di dewan serbaguna Kampung Sinar Budi Baru kelmarin.

Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang. — DayakDaily