Kerajaan GPS bersedia membantu persatuan pelbagai kaum — Abang Johari

Abang Johari (empat dari kiri) menyerahkan geran daripada kerajaan Sarawak bernilai RM4.5 juta kepada Persatuan Melayu Miri, di Miri malam tadi (25 Ogos, 2020). Turut kelihatan ialah Uggah (tiga dari kanan) and Awang Tengah (tiga dari kiri).

MIRI, 26 Ogos: Kerajaan Sarawak bersedia membantu persatuan pelbagai kaum sebagai usaha untuk terus memperkukuhkan perpaduan antara pelbagai kaum dan agama di Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini malam tadi.

Jelas beliau, melalui Unit untuk Agama Lain (Unifor) telah terbukti kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memang menitikberatkan perpaduan antara agama dan kaum sebagai tunjang untuk memajukan Sarawak. Beliau berkata demikian semasa majlis ringkas untuk menyerahkan geran kerajaan Sarawak bernilai RM4.5 juta kepada Persatuan Melayu Miri.

Tambah beliau, Kementerian Perpaduan Negara kagum dengan usaha Sarawak melalui Unifor dan menterinya bercadang untuk membawa konsep Unifor untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Abang Johari menjelaskan geran berkenaan kepada Persatuan Melayu Miri adalah untuk tujuan membina bangunan persatuan tersebut sebagai simbol perpaduan masyarakat Melayu di kawasan Miri.

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada kos untuk membina bangunan persatuan tersebut, jelas beliau.

Datuk Patinggi Abang Jo menyatakan bantuan juga dihulurkan kepada masyarakat Orang Ulu melalui Federasi Persatuan Orang Ulu Sarawak (Forum) yang juga akan mempunyai bangunan sendiri di sini.

Masyarakat lain di sini seperti Kedayan dan Jati Miriek juga mendapat perhatian kerajaan GPS, ujar beliau.

Bagi masyarakat Dayak pula, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Sarawak Dayak Graduate Association (SGDA) adalah antara persatuan yang menerima bantuan Kerajaan, tambah beliau.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. — DayakDaily