Kerajaan giat bangunkan jalan penghubung di DUN Pelagus

Wilson Nyabong, calon GPS dari PRS untuk kawasan Pelagus.

Ikran Rencana 

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus kini semakin membangun dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang telah dan sedang dibina demi kesejahteraan penduduknya.

DUN Pelagus yang 80 peratus dihuni oleh masyarakat Iban bukan sahaja mendapat manfaat daripada terbinanya jalan penghubung Sibu ke Kapit, tetapi kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) terus berusaha menyediakan jalan ke setiap rumah panjang.


Jalan Sibu-Kapit.

Projek pembinaan jalan penghubung kini sedang giat dilaksanakan di kawasan DUN Pelagus yang melibatkan peruntukan besar daripada kerajaan Pusat dan Negeri.

Keseluruhan projek ini dilaksanakan secara berperingkat dengan sebahagiannya sedang dilaksanakan dan sebahagian lagi akan dimulakan pembinaannya dalam tempoh terdekat.

Menurut Penyandang DUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, ia adalah merupakan usaha kerajaan untuk memberi kemudahan perhubungan selain membantu meningkatkan sosio ekonomi rakyat.

Katanya, Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah(KPLBW) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM280 juta bagi pembinaan jalan dari Nanga Tulie ke Merit sepanjang 41 kilometer (KM).

Pandu uji feri di tapak cadangan di Nanga Tulie.

“Namun peruntukan ini masih tidak mencukupi, maka ia dilaksanakan secara berperingkat.

“Sekarang menerusi Rancangan Malaysia Ke12 (RMK12), jalan dibina dari Nanga Tulie ke Nanga Pelagus sepanjang 25 km,” katanya.

Turut diluluskan dibawah KPLBW kata Wilson adalah pembinaan jalan penghubung dari Rumah Juntan ke Nanga Sut sepanjang 13 km dengan kos RM80 juta.

Konsultan bagi projek ini sudah pun dilantik dan tender akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan pusat akan membina satu jambatan merentasi Sungai Sut di SK Nanga Entaroh dengan kos RM12 juta.

Manakala dari kerajaan negeri menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Hulu Rajang(URDA), jalan penghubung sepanjang lebih 20 km akan dibina dari Nanga Baleh ke Nanga Pelagus dengan kos lebih RM140 juta.

“Kerajaan negeri juga telah meluluskan permintaan untuk mewujudkan perkhidmatan feri di Nanga Tulie dan ia sedang dilaksanakan sekarang.

“Terdapat keperluan bagi perkhidmatan feri beroperasi sementara pembinaan jambatan yang bakal dilaksanakan kelak.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM28 juta untuk membina jalan penghubung ke feri tersebut,” ujar Wilson.

Tempoh 4 Tahun Pembangunan Jalan Penghubung

Menurut Penghulu Undie Bajal yang ditemui menyatakan bahawa kawasan DUN Pelagus dalam tempoh empat tahun yang lalu telah menikmati pelbagai bentuk pembangunan seperti yang diinginkan oleh rakyat.

Katanya, jalan penghubung ke setiap rumah panjang sudah dan sedang dalam pembinaan dan ini memberi kemudahan kepada penduduknya.

Kemudahan ini katanya membolehkan penduduk dari kawasan luar bandar menjual hasil pertanian ke pasar Kapit atau pasar berdekatan.

Abang Johari dan Masing pada lawatan kerja ke Jambatan Nanga Mujong pada bulan Oktober 2020.

“Inilah pendekatan yang diambil oleh kerajaan GPS di dalam membantu meningkatkan pendapatan penduduk di rumah panjang, hasil pertanian dan hasil sungai boleh dijual di pasar Kapit melalui kemudahan jalan raya.

“Berhubung kemudahan lain, kerajaan GPS juga telah menyediakan bekalan elektrik dan air, jambatan yang menghubungkan satu kawasan ke kawasan yang lain.

“Rakyat di DUN Pelagus merasakan kemudahan infrastruktur di kawasan ini telah bertambah. Kami sangat bangga dengan komitmen Yb Wilson yang telah berusaha keras dan melawat setiap rumah panjang,” katanya.

Tambah Penghulu Undie, Kerajaan GPS secara keseluruhannya telah membawa banyak pembangunan untuk Bahagian Kapit.

Rakyat Nikmati Pembangunan

Dalam pada itu, Penghulu Uga Usop ketika ditemui pada majlis yang sama mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah membawa pembangunan ke Bahagian Kapit termasuk DUN Pelagus.

Katanya, usaha kerajaan menyediakan semua kemudahan memakan masa dan dilaksanakan secara berperingkat yang pada akhirnya dinikmati oleh semua.

“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pembangunan tidak datang dalam sekelip mata tetapi penduduk di Kapit termasuk Pelagus kini sudah merasai pelbagai bentuk kemudahan dari kerajaan,” katanya.

Tambah Uga, Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) akan membina jalan penghubung dari Baleh ke SK Nanga Pelagus dan bakal memberi kemudahan kepada penduduk di sekitarnya.

“Kini, kerajaan GPS akan membina jalan tersebut dan ini merupakan satu lagi pembangunan untuk kita khususnya generasi baru kerana merekalah yang akan menggunakan jalan itu nanti.

“Pelagus kini semakin membangun, banyak lagi kemudahan akan disediakan kepada rakyat oleh kerajaan di masa akan datang,” ujar Uga.

Penghulu Daniel Dian 

Turut ditemui pada majlis yang sama ialah Penghulu Daniel Dian Nuing dimana beliau berkongsi berhubung peranan utama Pusat Khidmat DUN Pelagus.

Katanya, pusat tersebut menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit yang perlu  mendapatkan rawatan kesihatan di Sibu dan Kuching.

Selain itu ujar Penghulu Daniel, pusat juga memberikan bantuan kewangan menerusi Tabung Pendidikan Pelagus berjumlah RM500 secara ‘one-off’ kepada pelajar yang mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma.

Penghulu Daniel Dian (kanan) menyerahkan bantuan Tabung Pendidikan Pelagus kepada ibu bapa pelajar.

“Manakala RM1,000 diberikan kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di universiti. Bantuan RM300 pula diberikan kepada pelajar yang mendapat tempat di MRSM atau matrikulasi.

“Bantuan kewangan ini telah memberi manfaat kepada penduduk khususnya keluarga yang kurang pendapatan.

“Berhubung masalah kematian, pusat khidmat juga memberi bantuan kewangan RM200 untuk membantu keluarga dalam urusan pengebumian,” katanya.

Wilson (empat dari kiri) pada Majlis Pandu Uji Feri Nanga Tulie pada bulan April 2021.

Jambatan Nanga Mujong hubungkan Kapit ke HEP Baleh

Jambatan Nanga Mujong sepanjang 700 meter yang dibina dengan kos RM37 juta menyambungkan Pasar Kapit ke Hidro Elektrik (HEP) Baleh serta terdapat lebih 150 buah rumah panjang di sepanjang laluan tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Menteri (Mendiang) Tan Sri James Masing pada lawatan kerja itu,  Jambatan Nanga Mujong dan Jambatan Baleh yang telah siap dibina dengan kos RM87 juta bakal menghubungkan Baleh ke Pelagus.

Katanya, Jalan Ng Mujong sepanjang 73 km (jalan masuk ke Empangan Baleh yang dicadangkan) dengan kos RM1.2 bilion dan Ng Sepanggil-Tunoh (jalan masuk ke Tunoh) dengan kos RM600 juta sedang dalam pembinaan.

Jambatan Nanga Mujong yang bernilai RM37 juta menghubungkan pekan Kapit ke empangan hidroelektrik Baleh.

Menurut Masing lagi, Jalan Rh Nyamok / Ng Serau / Ng Gaat / SMK Baleh / Sg Kain yang bernilai RM380 juta juga akan dilaksanakan dalam dua fasa yang dijadual mula dibina akhir tahun 2020.

Manakala jalan menuju Tunoh (Ng Mujong / Ng Tiau / Tunoh) yang dianggarkan bernilai RM550 juta telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Dalam pada itu, Wilson berkata empat buah rumah panjang di Pelagus bakal mendapat manfaat susulan pembinaan jalan baharu sepanjang 3.7 kilometer yang menelan kos sebanyak RM40 juta.

Katanya pada upacara pecah tanah pada tahun 2020 lepas, jalan tersebut menghubungkan Rumah Undi, Rumah Seli, Rumah Mamut dan Rumah Ali Antawau di Sungai Bena.

Beliau menambah, bahawa kerajaan telah membayar pampasan bagi tanah tanaman yang terjejas akibat projek jalan tersebut. — DayakDaily

Abang Johari merasmikan Kapit Town Square pada lawatan ke Kapit menerusi program bermotosikal dari Sibu ke Kapit pada Oktober 2020.