Kerajaan cadang wujud Pusat Penempatan Pengusaha Industri Kotej

Dr Annuar (tengah) di Perasmian Program Pemerkasaan Komuniti Berilmu di Kolej Komuniti Sarikei. Foto: Ukas

KUCHING, 1 Feb: Kerajaan Sarawak bercadang untuk mewujudkan pusat bagi menempatkan pengusaha industri kotej di masa hadapan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Dr Annuar memaklumkan ramai peniaga kecil tepi jalan di Sibu tidak mempunyai sijil halal termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.

Katanya, untuk mendapatkan sijil halal antara syarat wajib dikenakan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Jabatan Kesihatan untuk mempunyai premis perniagaan.


“Di kawasan bandar, setiap usahawan yang menjalankan perniagaan mereka mesti ada premis dan tidak boleh dibuat di rumah.

“Setelah mendapat kelulusan daripada MPS dan Jabatan Kesihatan barulah mereka diberikan sijil halal.

“Tanpa sijil halal, produk mereka tidak boleh masuk ke pasar raya dan kedai-kedai.

“Akhirnya, produk mereka terus dijual di tepi jalan sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Komuniti Berilmu di Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu Isnin (30 Jan).

Sehubungan itu, Dr Annuar mencadangkan idea mewujudkan pusat industri kotej kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan berharap mereka akan mempertimbangkannya.

Beliau mendedahkan bahawa mempunyai sebidang tanah dalam perhatian untuk idea itu tetapi belum bersedia mendedahkan lokasinya pada masa ini.

“Ia tidak semestinya besar, mungkin boleh memuatkan kira-kira 16 unit lot kedai.

“Kita boleh membina bangunan di mana bahagian belakang adalah untuk aktiviti pengeluaran manakala bahagian depan boleh digunakan untuk menjual produk. Contohnya seperti produk seperti mi dan kek lapis tidak memerlukan ruang besar,” katanya. — DayakDaily