Keputusan kerajaan terdahulu dihormati, SSLR diteruskan

Hamzah Brahim

KUCHING, 12 OGOS: Keputusan meneruskan projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) adalah sebagai menghormati keputusan kerajaan sebelumnya.

Setiausaha politik Menteri Kanan Kerja Raya Hamzah Brahim berkata, pada masa yang sama akan terus memperjuangkan supaya projek yang
dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tetap dilaksanakan.

ā€œIni termasuk tiga jambatan di Sarawak iaitu Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1 bilion dimana RM500 juta ditanggung kerajaan negeri dan RM500 juta dari kerajaan pusat.


ā€œJambatan Batang Igan dengan kos RM500 juta dan Jambatan Rambungan dengan kos RM100 juta,ā€ katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru, Hamzah mengingatkan bekas setiausaha politik mantan Menteri Kerja Raya (Baru Bian), Zehegkiel Piree, agar tidak mendabik dada
bahawa kononnya SSLR lebih besar manfaatnya berbanding projek tiga jambatan yang dibatalkan itu.

Menurut Hamzah, kerajaan hari ini tidak sewenang-wenangnya membatalkan projek untuk rakyat dan tidak juga akan memaksa sebarang kontrak dibatalkan dengan cara ugutan.

Tambah beliau, peruntukan yang sepatutnya digunakan bagi pembinaan tiga jambatan berkenaan juga telah dipindahkan untuk pelaksanaan projek SSLR.

Ini menyebabkan kerajaan negeri Sarawak terpaksa mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan projek tiga jambatan terbabit demi rakyat.

ā€œDi samping itu, Baru Bian sebelum ini juga telah membatalkan Fasa 2 projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Limbang dan Lawas di mana kerajaan negeri sendiri bersetuju meneruskan dan menanggung kos pembinaan demi kemaslahatan rakyat di Limbang dan Lawas iaitu kawasan
mantan Menteri Kerja Raya sendiri.

ā€œKeutamaan kerajaan hari ini adalah untuk memastikan semua projek yang telah diluluskan dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat,ā€ ujar Hamzah. ā€” DayakDaily