Kenaikan gaji Ketua Masyarakat dan elaun Ketua Kaum masih dalam kajian — Sikie

Sikie (duduk tengah) pada sidang media selesai ucapan penggulungan kementerian di Kompleks DUN hari ini (27 Nov 2023).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Nov: Kerajaan masih melakukan kajian secara terperinci berhubung cadangan kenaikan gaji bagi 7,585 ketua masyarakat dan elaun ketua kaum.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, tiada tempoh masa ditetapkan bagi mencapai keputusan kepada kajian tersebut kerana perbincangan melibatkan pelbagai pihak.


“Memang kita sedar ada cadangan kepada isu ini dan kita akan melakukan kajian dengan sebaiknya, tidak tergesa-gesa bagaimana hendak menyelaraskannya,” kata Sikie.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah selesai membentangkan ucapan penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sebagai contoh, tambah Sikie, kebiasaan rumah panjang Iban ada sebanyak 20 hingga 30 pintu manakala rumah panjang Orang Ulu sehingga 200 pintu.

Justeru, katanya, terdapat perbezaan dari sudut tanggungjawab yang digalas oleh ketua masyarakat atau ketua kaum.

“Oleh itu kita harus melakukan kajian secara menyeluruh dan memerlukan masa,” kata Sikie.

Kali terakhir kerajaan Sarawak membuat penyelarasan gaji bagi Ketua Masyarakat dan elaun bagi Ketua Kaum adalah pada tahun 2018.

Terdahulu dalam ucapannya, Sikie berkata kerajaan setakat ini telah menerima sebanyak 876 permohonan cadangan pewujudan jawatan baharu ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dari semua Bahagian di seluruh Sarawak.

Katanya, kerajaan juga sedang meneliti secara terperinci keseluruhan permohonan pewujudan jawatan tersebut berdasarkan keperluan serta kriteria-kriteria umum.

Manakala, bagi pengiktirafan pelantikan Ketua Kaum selepas tarikh 17 Februari 2000, kata Sikie, kerajaan telah menetapkan Ketua Kaum tersebut hendaklah mempunyai rumah panjang atau kampung di bawah seliaan beliau dengan jumlah 20 pintu ke atas.

“Bagi Ketua Kaum yang telah dilantik selepas Merdeka (1963) dan mempunyai rumah panjang atau kampung di bawah seliaan beliau kurang dari 10 pintu atau rumah, pembayaran elaun bulanan harus dihentikan,” tegas Sikie. — DayakDaily