Kementerian Utiliti sasarkan liputan bekalan elektrik bagi 97 peratus isi rumah menjelang hujung 2020

Abdul Rahman memandu jentera bagi melakukan upacara pecah tanah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Kampung Ulu Sungai Sinjan, Petra Jaya.

KUCHING, Dis 10: Kementerian Utiliti mensasarkan meningkatkan liputan bekalan elektrik 24 jam sehingga mencecah 97 peratus isi rumah di Sarawak menjelang hujung tahun 2020.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik), Datuk Abdul Rahman Junaidi mendedahkan sehingga hujung tahun ini, sekitar 91 peratus isi rumah di seluruh negeri ini sudah mendapat bekalan elektrik 24 jam.

“Manakala lebih kurang sembilan peratus atau seramai 30,400 isi rumah di seluruh negeri ini masih belum lagi mendapat bekalan elektrik terbabit. Berikutan itu menjelang 2020, Kementerian Utiliti dan Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) menyasarkan meningkatkan liputan elektrik terbabit dari 91 peratus kepada 97 peratus,”katanya ketika Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (Permohonan Tambahan) di Kampung Ulu Sungai Sinjan, di Petra Jaya, di sini, hari ini.

Majlis tersebut juga dihadiri Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti, Dato Ir Alice Jawan Empaling.

Abdul Rahman berkata pihaknya menetapkan sasaran tersebut berikutan kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan Pelan Induk Elektrik Luar Bandar Sarawak.

Katanya pelan terbabit diluluskan kerajaan Sarawak dengan peruntukan khas yang berjumlah RM2.37 bilion bagi melaksanakan projek pembekalan elektrik kepada isi rumah di seluruh negeri ini pada 2019 dan 2020.

Selain itu, beliau mendedahkan Kementerian Utiliti ada menghadapi kerumitan menyalurkan bekalan elektrik secara bersistematik dan lancar di negeri ini. Antaranya menerima sedikit permohonan isirumah bagi mendapatkan kemudahan asas itu melalui Pejabat Residen atau pusat khidmat wakil rakyat.

Disamping itu berlaku juga masalah segelintir isi rumah tertinggal semasa sesuatu projek bekalan elektrik dilaksanakan di kawasan tertentu disebabkan pelbagai masalah termasuk tanah ataupun rumah terbabit siap dibina hanya selepas projek pembekalan elektrik kawasan itu selesai.

“Sehubungan itu Kementerian Utiliti dan Sarawak Energy telah bekerjasama membuat satu sistem baru digelar Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) yang bermula dari awal 2018 bagi menangani masalah permohonan segelintir isirumah tertinggal ini,” katanya.

Abdul Rahman (dua dari kanan) bersama Sharifah Hasidah (tiga dari kiri) menyambut penduduk kampung ketika Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Kampung Ulu Sungai Sinjan, Petra Jaya.

Sehubungan itu, beliau meminta isirumah yang tertinggal projek bekalan elektrik di kawasan mereka supaya membuat permohonan mendapatkan ALAF dari pejabat daerah masing-masing yang kemudian akan menyalurkan permohonan mereka kepada kementerian itu.

“Sehingga pertengahan tahun ini sahaja sudah hampir 4,000 isirumah di seluruh negeri ini telah memohon ALAF,” tambahnya.

Mengenai Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Kampung Ulu Sinjan, beliau menjelaskan projek itu melibatkan penyambungan bekalan elektrik 24 jam kepada seramai 28 orang pemohon tambahan atau lewat di Kampung Ulu Sungai Sinjan yang menelan kos lebih RM536,000.

Projek berkenaan dijangka siap suku pertama 2019 melibatkan peletakan Kabel Bawah Tanah Ketegangan Tinggi (HT), Kabel Bawah Tanah Ketegangan Rendah (LT), pembinaan pencawang padat dan lain-lain infrastruktur berkaitan. — DayakDaily