Kejadian serangan jiran, lelaki ditahan polis

Suspek ditahan untuk siasatan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Mac: Polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun selepas bertindak menyerang jirannya menggunakan sebatang besi semalam.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu di sebuah rumah di Kampung Tegageng Suai Niah, lelaki tersebut secara tiba-tiba menyerang jirannya, seorang wanita yang ketika itu sedang berehat di bawah rumah, dengan bertindak memukul mangsa menggunakan batang besi sepanjang 40 inci sebanyak dua kali.


Susulan kejadian, mangsa, berusia 44 tahun, itu mengalami kecederaan pada tangan kanannya.

Difahamkan, suspek yang hanya berseluar panjang, telah tiba-tiba datang ke kawasan rumah mangsa sebelum bertindak memukulnya.

Menurut ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suami mangsa yang ketika itu berada di tingkat atas rumah bergegas ke arah isterinya selepas mendengar jeritan mangsa meminta tolong.

“Suami mangsa sempat mengambi; penyedok di tepi rumah kerana bimbang suspek mencederakan isterinya,” ujar Hakemal.

Suspek juga dikatakan ingin mencederakan suami mangsa, namun apabila melihat lelaki tersebut memegang penyedok, suspek segera melarikan diri.

Susulan kejadian, mangsa dan suaminya telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Batu Niah.

Bertindak dari laporan tersebut, suspek telah ditahan sekitar jam 3 petang hari yang sama oleh pihak polis.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. ā€” DayakDaily