Kehidupan rakyat perit akibat kenaikan harga barang

Tr Minggat (kanan) dan Tr Ameh (kiri) ketika ditemui di Pekan Engkilili.

Oleh Chris Bishop

ENGKILILI, 5 Julai: Kenaikan harga barangan kebelakangan ini memberi kesan ketara kepada penduduk Engkilili yang meminta kerajaan melakukan sesuatu supaya kenaikan harga itu dapat dikawal.

Menurut Tuai Rumah (Tr) Minggat dari Tituk Ulu, keperitan hidup kesan kenaikan itu telah dirasai sejak 2 bulan yang lalu.


“Kehidupan semakin perit setelah harga kelapa sawit turun mendadak kepada hanya RM800 daripada RM1,500 setan.

“Boleh dikatakan semua barangan naik harga, ini termasuk minyak masak, ayam, ikan, sayuran, susu, milo, daging babi, makanan serta minuman di kedai,” katanya ketika ditemui DayakDaily di Pekan Engkilili semalam.

Tambah Tr Minggat, pekan kecil (Engkilili) boleh dikatakan sering dikunjungi penduduk rumah panjang sekitarnya untuk mendapatkan barangan keperluan sebelum ini.

Namun katanya, akibat kenaikan harga barangan yang mendadak pekan tersebut kini agak lengang.

Bagi pekebun kecil sawit pula ujar Tr Minggat, mereka berdepan cabaran untuk meneruskannya berikutan kenaikan harga baja dan racun.

“Sekarang harga baja sawit naik kepada RM175 bagi kuantiti 50 kilogram, manakala harga racun pula naik kepada RM600 bagi kuantiti 20 liter.

“Kenaikan ini sangat tinggi dan tak mampu untuk ditangani pekebun kecil menyebabkan ada yang terpaksa membiarkan sahaja kebun mereka, ” katanya.

Dalam pada itu, Tr Ameh Ligak dari Stengin mendesak kerajaan bertindak dengan segera bagi menangani isu kenaikan harga barangan.

Katanya, penduduk luar bandar kini dalam keperitan hidup dan mungkin tidak disedari oleh kerajaan.

“Kami penduduk luar bandar tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada hasil tani sahaja.

“Kalau dah semua harga barang naik, terutama makanan, apa lagi pilihan yang kita ada selain terpaksa membeli dan berjimat selagi boleh,” ujar Tr Ameh. — DayakDaily