Kehidupan dua beradik, makcik berubah dengan pembinaan rumah konkrit baru

Sebuah rumah tiga pintu yang pembinaannya dibantu oleh ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep untuk menempatkan dua beradik dari Kampung Barieng, Singai bersama keluarga masing-masing termasuk makcik mereka, yang sebelum ini tinggal di pondok usang.

KUCHING, Jun 10: Kedaifan hidup dua beradik bersama makcik mereka dari Kampung Barieng, Singai di Bau kini berubah menjadi lebih baik dan selesa, apabila nasib mereka mendapat pembelaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep yang menolong membina sebuah rumah konkrit baharu untuk didiami mereka.

Sebelum ini, dua beradik tersebut bersama isteri dan anak-anak mereka masing-masing hanya berteduh di dalam sebuah pondok kecil yang usang manakala makcik mereka hidup menumpang di rumah sanak saudara dan berpindah randah.

Menurut Henry, beliau amat tersentuh hati sebaik sahaja melihat keadaan pondok yang menjadi tempat berteduh terutama dua beradik tersebut, selepas dimaklumkan semasa beliau menziarahi ahli keluarga mereka yang meninggal dunia di rumah berdekatan pada lima bulan lepas.

“Ketika itu, ketua kampung dan ahli keluarga mengambil kesempatan membawa saya melawat rumah mereka yang terletak hanya di belakang rumah orang yang meninggal dunia.

“Di sanalah saya melihat sendiri keadaan rumah mereka yang sangat daif dan menyedihkan.

“Dengan itu saya serta merta mengambil inisiatif membina rumah baharu untuk memberikan kediaman yang lebih selesa kepada mereka menggunakan peruntukan daripada Projek Kecil Luar Bandar (MRP) saya,” katanya yang dihubungi.

Enggan menyatakan kos pembinaan rumah bantuan kebajikan tersebut, Henry berkata ia dibina dalam bentuk memanjang yang dibahagikan kepada tiga pintu rumah dengan setiap pintu rumah dilengkapi dapur, tandas, bilik mandi dan bilik tidur.

Katanya, pembinaan rumah tersebut yang mula dilaksanakan dalam pertengahan April lalu kini telah siap sepenuhnya pada awal bulan ini.

“Saya lega kerana dua beradik ini bersama keluarga masing-masing termasuk makcik mereka kini boleh tinggal di sebuah rumah yang lebih baik dan selesa,” katanya.

Tanpa mendedahkan identiti mereka, beliau memberitahu dua beradik tersebut adalah bekerja sebagai buruh kasar dan hanya menerima upah membuat kerja-kerja di sekitar kampung.

Manakala isteri mereka masing-masing merupakan suri rumah sepenuh masa dan menjaga anak mereka yang masih kecil. Masing-masing mempunyai dua orang anak.

Manakala makcik mereka pula adalah seorang ibu tunggal dan tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. — DayakDaily