Kebolehpasaran graduan berkemahiran Kolej Vokasional mencecah 97 peratus tahun lepas

Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sijil diploma kepada graduan Kolej Vokasional dari zon Sarawak di Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Malaysia Ke-4 di Dewan Detar Putra, kampus Unimas.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Sept 11: Graduan berkemahiran dari Kolej Vokasional telah mencatatkan kebolehpasaran atau peluang diambil sebagai pekerja yang tinggi mencecah 97 peratus tahun lepas.

Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr Abdul Rahman Deen berkata demikian dan berbangga dengan pencapaian kebolehpasaran graduan kolej tersebut yang ada banyak cawangannya di negeri ini.

“Saya difahamkan kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional bagi tahun 2018 telah mencapai 97.02 peratus dan para graduan telah diambil bekerja dalam bidang yang dipelajari ketika mereka menjalani latihan industri atau ‘intership’,”katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Malaysia Ke-4 di Dewan Detar Putra, kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, hari ini.

Advertisement

Keseluruhannya seramai 14,387 graduan kolej tersebut seluruh negara tahun ini dan seramai 1,397 graduan itu dari zon Sarawak menerima diploma mereka pada majlis konvokesyen itu.

Abdul Rahman juga difahamkan kerjasama strategik antara Kolej Vokasional dengan pelbagai pihak khususnya pihak industri semakin meningkat dan menyumbang kepada tahap kebolehpasaran tinggi itu.

“Terdapat lebih 1,000 memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Vokasional dengan industri yang telah ditandatangani dan kolej terbabit juga melaksanakan Nota Kerjasama dan Nota Niat dengan industri dan agensi yang berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan pihak industri telah menunjukkan impak kepada lonjakan kejayaan Kolej Vokasional dalam bersaing dengan pemberi institusi pendidikan lain. — DayakDaily

Advertisement