Jerebu: Arahan larangan pembakaran terbuka berkuatkuasa hari ini

Fire and flames. - DayakDaily.com file pic.// Photo: Pixabay

KUCHING, Sept 11: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia mengeluarkan arahan larangan aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negara berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Arahan larangan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 29AA(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling Norlin Jaafar berkata, arahan pembakaran terbuka tersebut dikeluarkan susulan keadaan jerebu yang masih melanda seluruh negara.


Bagaimanapun katanya, arahan larangan berkenaan dikecualikan kepada pembakaran bagi tujuan keagamaan, pembakaran mayat, gril, barbeku serta pembakaran gas mudah terbakar (‘flaring’).

“Justeru, kami (JAS) berharap rakyat di negara ini tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka.

“Larangan pembakaran terbuka ini dikuatkuasakan sehingga musim Monsun Barat Daya berakhir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Norlin menambah, denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan sekiranya terdapat mana-mana individu atau pihak yang melanggar perintah larangan itu.

Tegasnya, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga akan dikenakan atas setiap kesalahan. — DayakDaily