Keadilan Sarawak: Kerajaan perlu patuh titah Agong, panggil Parlimen bersidang Jun atau Julai 2021

Abun Sui Anyit

KUCHING, 18 Jun: Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sarawak telah menyeru kerajaan Malaysia untuk memanggil persidangan Parlimen dengan secepat mungkin samada bulan Jun atau Julai 2021.

Ketua Penerangan Keadilan Sarawak, Abun Sui Anyit berkata demikian merujuk kepada satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada 16 Jun, memberitahu bahawa Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

“Persidangan Parlimen perlu dipanggil segera atau secepat mungkin oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang dititahkan oleh YDPA.


“Oleh kerana titah tersebut menyebut untuk membincangkan Ordinan-Ordinan Darurat 2021, maka Keadilan Sarawak berpendapat bahawa persidangan Parlimen sewajarnya diadakan dalam bulan Jun atau Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abun lagi, Parlimen boleh dipanggil bersidang pada bila-bila masa dalam tempoh darurat iaitu sebelum 1 Ogos, 2021 oleh YDPA seperti termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa–Kuasa Perlu) 2021.

“Ini bermakna YDPA telah memikirkan sesuai suatu masa Parlimen hendaklah dipanggil ‘secepat mungkin’ atau dengan ‘segera’ di dalam kenyataan media Istana Negara tersebut.

“Malah, dalam Kamus Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga seperti difahami rakyat Malaysia selama ini; ‘segera’ atau ‘secepat mungkin’ bermakna tidak berlengah-lengah lagi. Boleh jadi dalam masa satu atau dua hari dan bukannya maksud ‘segera’ yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kerajaan PN sampai ke bulan Oktober 2021,” tambahnya.

Abun turut memberitahu jika Parlimen tidak dipanggil bersidang oleh kerajaan PN semasa tempoh darurat ini menurut Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat 2021, ini bermakna kerajaan secara kolektifnya telah tidak patuh kepada titah YDPA.

“Jika kerajaan PN tidak dapat melaksanakan apa yang dititahkan oleh YDPA, langkah terhormat yang kerajaan harus buat sekarang adalah Perdana Menteri meletak jawatan agar kabinet kerajaan PN turut terbubar secara automatik dan Perdana Menteri baharu lain perlu dilantik agar nama baik Malaysia diperbaiki dan dipulihkan semula di mata dunia.

“Jika Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin tidak berundur, rakyat pasti akan membuat perhitungan terbaik dengan menghukum kesemua calon-calon PN dan yang ada hubungkait dengan PN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang,” katanya lagi. — DayakDaily