Keadilan Sarawak bentuk Majlis Penatua ambil alih tugas Pengerusi MPN

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sarawak, Abun Sui Anyit.

KUCHING, 6 Mac: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sarawak masih bergerak seperti biasa tanpa dijejaskan oleh insiden perletakan jawatan Pengerusi MPN parti terbabit pada 28 Februari lalu.

Ketua Penerangan Keadilan Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, menerusi mensyuarat pertama selepas perletakan bekas pengerusinya semalam (5 Mac), semua ahli Keadilan Sarawak bersetuju secara konsensus menerima serta mengesahkan pembentukan Majlis Penatua.

Katanya, majlis tersebut yang terdiri daripada pemimpin kanan Keadilan Sarawak sebagai mengambil tempat jawatan dan menjalankan tugas Pengerusi MPN Negeri.


“Majlis ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi MPN dan diberi tanggungjawab untuk mengambil keputusan yang perlu diputuskan segera secara kolektif dan bertanggungjawab kepada MPN Sarawak.

“Majlis ini bersifat sementara (interim) dan akan mentadbir perjalanan Keadilan Sarawak menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dan pilihanraya Parlimen jika dibubarkan lebih awal ataupun sehingga selesai Pemilihan Parti Keadilan Rakyat yang akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Abun berkata, penubuhan Majlis Penatua oleh Keadilan Sarawak tersebut turut mendapat pengesahan daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Presiden Keadilan  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Majlis Penatua itu juga akan mewakili Keadilan Sarawak di dalam Majlis Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang terdiri daripada Parti Keadilan Sarawak, DAP Sarawak dan Parti Amanah Sarawak.

Jelas isu peletakkan jawatan Pengerusi MPN tidak menjejaskan persiapan parti  itu bersama rakan lain dalam PH untuk menghadapi PRN-12 memandangkan parti itu kini mempunyai satu majlis sementara yang boloeh menjalankan tugas pengerusi MPN.

“Presiden juga mengulangi pendirian parti bahawa Keadilan Sarawak sememangnya diberi autonomi di dalam mentadbir Keadilan Sarawak tanpa campurtangan pusat berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Keadilan,” katanya. — DayakDaily