Keadaan berlubang Jalan Gedong-Simunjan menyusahkan pengguna jalan

Ramai pemandu terutama dari Kuching dan Serian tidak sempat mengelak dan melanggar lubang jalan, menyebabkan mereka hilang kawalan atau mengalami kerosakkan pada bahagian kenderaan.

SIMUNJAN, Dis 9: Pengguna Jalan Gedong-Simunjan meminta pihak berkuasa berkaitan segera membaikpulih keadaan jalan terbabit yang kini semakin banyak kerosakkan dan lubang besar sehingga sukar dilalui mengunakan kenderaan.

Ini kerana jalan terbabit masih menjadi laluan pilihan penduduk dari Serian atau dari Kuching bagi ke pekan Simunjan yang selama lebih dua jam perjalanan selain melalui Asajaya dan mengunakan Jambatan Batang Sadong.

Kebanyakkan lubang jalan besar dan merbahaya terletak sepanjang dua kilometer dari Jambatan Gedong menuju ke pekan Simunjan sehingga kenderaan yang melaluinya terpaksa bergerak perlahan dan berhenti mengejut bagi mengelak lubang terbabit.


Tiada sebarang tanda amaran mengenai lubang jalan terbabit atau lampu bagi memaklumkan pengguna jalan itu dan ramai pemandu terutama terutama dari Kuching dan Serian didapati tidak menyedari kewujudan lubang jalan terbabit sehingga ada tidak sempat mengelak dan melanggarnya serta menyebabkan mereka hilang kawalan atau mengalami kerosakkan pada bahagian kenderaan.

Penguna Jalan Gedong-Simunjan, Chin Lee,30, menunjukkan jalan itu yang rosak dan berlubang.

Seorang pemandu dari Kuching, Chin Lee, 30 berkata selepas menjalani perjalanan yang selesa melalui Jalan Kuching-Serian dan Jalan Gedong, beliau tidak menyangka wujud keadaan jalan berlubang besar di Jalan Gedong-Simunjan sehingga ada melanggarnya tanpa sengaja.

“Ini menyebabkan kenderaan pacuan empat roda dipandu saya melambung dan terkena hentakkan amat kuat, mujur saya dapat mengawal kenderaan dari terbabas serta tiada ahli keluarga dalam kenderaan ada mengalami kecederaan,” katanya yang menuju ke Kampung Melanjok, di Simunjan.

Chin Lee kemudian segera berhenti dan keluar dari kenderaan bagi melihat keadaan kenderaanya terutama bahagian tayar bagi memastikannya tiada mengalami kebocoran atau rim yang bengkok supaya dapat meneruskan perjalanan dengan selamat.

“Saya berharap pihak berkuasa bertindak segera membaiki lubang jalan terbabit; pasti akan ada pemandu lain yang akan melanggar lubang terbabit terutama pada waktu malam dan mungkin tidak bernasib baik seperti saya,” katanya.

Manakala seorang lagi pengguna jalan itu Yus Ambon, 40, dari Kampung Sorak Dayak, Serian berkata berkata sebelum ini, pernah ada kalangan rakannya yang melalui jalan terbabit telah pecah tayar kenderaan kerana terlanggar lubang jalan itu yang tidak sempat dielaknya.

“Sehubungan itu, lubang pada jalan ini perlu dibaiki pihak berkuasa dengan segera dan janganlah sehingga ada kemalangan yang meragut nyawa baharulah mula bertindak,” katanya yang juga berharap penguna jalan terbabit bersama mengadukan tentang jalan itu.

Keadaan Jalan Gedong-Simunjan yang berlubang besar.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais pernah meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan jalan terbabit yang tidak diselangara dengan baik walaupun sudah kerap mengadukannya kepada pihak berkuasa berkaitan.

Beliau bimbang jalan terbabit yang dibina dengan kos RM120 juta dan siap dua tahun lepas tidak selamat digunakan kerana banyak kenderaan telah pancit tayar dan kemalangan juga kerap berlaku akibat keadaan jalan itu ketika ini. — DayakDaily