Kastam terus gempur premis disyaki jual rokok, minuman keras belum lulus cukai

Antara rokok dan minuman keras yang dirampas.

MIRI, Sept 12: Jabatan Kastam terus menggempur premis perniagaan yang disyaki menjual rokok dan minuman keras yang belum lulus cukai di negeri ini.

Dalam kejayaan terbaharu, Kastam Sarawak berjaya merampas sebanyak 13,224 batang rokok dan 106.18 liter minuman keras pelbagai jenama di sebuah premis perniagaan di Tudan, di sini, lewat petang semalam.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata dalam serbuan pada pukul 5.20 petang itu, seorang lelaki tempatan turut diberkas untuk membantu siasatan.

Katanya, anggaran rampasan adalah sebanyak RM3,444.81 dan jumlah cukai sebanyak RM20,187.28.

Antara rokok dan minuman keras yang dirampas.

“Siasatan awal mendapati sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang
dipercayai belum lulus Kastam telah disimpan di premis berkenaan.

“Individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras berkenaan untuk dijual kepada pelanggannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, rokok dan minuman keras tersebut telah disembunyikan di dalam bilik dan bahagian kaunter pembayaran premis berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya. — DayakDaily