Kastam Sarawak terus gempur ‘lubuk’ jual rokok dan minuman keras haram

Kelihatan rokok yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Sept 4: Jabatan Kastam Sarawak berjaya merampas sebanyak 19,992 batang rokok dan 7.92 liter minuman keras dalam satu serbuan di sebuah premis di Blok 10, Centrepoint, di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 7.50 pagi itu, pasukan Kastam juga menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki menyimpan barangan rampasan di premis tersebut.


Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata anggaran nilai rampasan itu adalah sebanyak RM1,827.79 dan jumlah cukai berjumlah RM14,772.26.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, pegawai penguatkuasa berjaya menemui sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai belum lulus Kastam yang di simpan di premis berkenaan.

Kelihatan minuman keras yang dirampas.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus Kastam di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggannya.

“Rokok dan minuman keras berkenaan telah disembunyikan di dalam stor dan bahagian bawah kaunter pembayaran premis berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Sharifah Halimah menambah, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Kastam juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah.”

Orang ramai boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my.

Pihak Kastam juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.  — DayakDaily