Kastam Sarawak rampas rokok, minuman keras dengan nilai cukai RM190k

Kelihatan rokok dan minuman keras yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Julai 13: Bahagian penguatkuasaan Jabatan Kastam Sarawak berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama di sebuah rumah kedai di Vista Perdana, di sini.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata menerusi serbuan itu, pihak kastam berjaya merampas 174,800 batang rokok dan 1,834.81 liter minuman keras pelbagai jenama.


Katanya, anggaran nilai rampasan rokok dan minum keras itu ialah sebanyak RM37,066.35 dengan jumlah cukai bernilai RM190,225.69.

Kelihatan rokok dan minuman keras yang dirampas.

“Kastam juga menahan seorang lelaki berumur 33 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Halimah menambah, siasatan awal mendapati suspek disyaki menjual rokok dan minuman keras yang belum lulus kastam kepada pelanggan.

Katanya, suspek juga disyaki telah menggunakan ruang rumah kedai berkenaan sebagai tempat simpanan barang-barang larangan tersebut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya. — DayakDaily