Kastam patahkan cubaan seludup keluar rotan bernilai RM586,920 

Rotan dan kontena yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 3 Okt: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya membongkarkan helah sebuah syarikat yang cuba menyeludup keluar rotan dianggarkan bernilai RM586,920 dengan membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak benar.
Pemangku Pengarah Kastam Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata kesemua rotan tersebut cuba dieksport ke luar negara menggunakan lapan buah kontena.
Katanya, pihaknya melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Senari, di sini pada 21 September lalu sekitar jam 11.15 pagi.
“Pemeriksaan awal mendapati barang yang diikrar tidak sama seperti dalam dokumen kastam yang diikrar oleh syarikat.
“Hasil pemeriksaan rapi telah menemui muatan rotan tanpa permit yang sah dari agensi berkaitan dengan berat keseluruhan 106,730kg serta anggaran nilai sebanyak RM586,920 dan cukai yang terlibat sebanyak RM144,085.50,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Jelasnya juga, kesemua rotan tersebut didapati belum lulus Kastam kerana tidak mempunyai permit yang sah daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) serta duti eksport belum dibayar.
“Sehubungan itu, agen penghantaran serta pemilik syarikat bagi barangan tersebut telah ditahan manakala barang kes dirampas untuk siasatan lanjut pihak JKDM.
Katanya  kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily