Kastam Sarawak rampas rokok dan minuman belum lulus cukai dalam dua serbuan berasingan

Kelihatan rokok dan minuman keras yang dirampas oleh pihak Kastam.

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 14: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Miri Sarawak telah melakukan serbuan dan merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama di dua buah premis berasingan di sini semalam.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya telah menahan dua lelaki serta merampas sebanyak 15,476 batang rokok dan minuman keras pelbagai jenama sebanyak 63.36 liter.


Menurutnya, barangan yang dirampas itu melibatkan anggaran sebanyak RM1,604.82 dan jumlah cukai sebanyak RM12,312.61 bagi kedua-dua kes berkenaan.

“Menerusi serbuan pertama iaitu kira-kira pukul 1.15 petang, sepasukan anggota Kastam Miri telah menyerbu sebuah premis bertempat di Jalan Miri-Bintulu, Batu 5 Lambir.

“Hasil pemeriksaan, pasukan Kastam telah menemui sejumlah rokok pelbagai jenama yang dipercayai belum lulus kastam yang disimpan di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, manakala dalam serbuan kedua iaitu kira-kira pukul 7.15 petang di sebuah pasaraya mini di Jalan Tudan, pihak Kastam telah menemui sejumlah rokok pelbagai jenama dan minuman keras yang dipercayai belum lulus kastam yang disimpan di situ.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus cukai di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan mereka.

“Rokok dan minuman keras berkenaan disembunyikan di dalam premis dan bahagian bawah kaunter pembayaran premis berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily