Kastam Sarawak rampas rokok dan arak bernilai RM39,444.21

Kelihatan pelbagai jenis rokok dan arak yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Jul 28: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah melakukan serbuan dan merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama di sebuah kedai di Jalan Raja di sini.

Pengarah JKDM Sarawak, Dato Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2.45 petang itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.


Jelasnya, sebanyak 49,736 batang rokok dan minuman keras sebanyak 19.70 liter pelbagai jenama juga telah dirampas.

“Siasatan awal mendapati nilai anggaran rampasan itu adalah berjumlah RM7,677.12 dengan nilai cukai sebanyak RM39,444.21,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, modus operandi suspek ialah disyaki menjual rokok yang belum lulus cukai Kastam kepada para pelanggannya.

Katanya, kesemua rokok yang dijumpai disembunyikan di belakang premis berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.— DayakDaily