PGA rampas rokok bernilai cecah RM2.64 juta di Siburan

Mancha (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok-rokok yang dirampas

KUCHING, 12 Jan: Operasi berterusan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas 17,100 kartun lagi rokok disyaki belum lulus Kastam semalam.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata kejayaan tersebut adalah hasil operasi oleh Unit Risik PGA yang menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Shun Lee, Batu 11 Siburan.

Dedahnya, hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut menemui pelbagai jenis rokok dengan nilai keseluruhan mencecah RM2.64 juta.


“Serbuan dilakukan ke atas rumah tersebut selepas ia disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok belum lulus Kastam dan hasilnya berjaya menemui 17,100 kartun rokok bernilai sekitar RM2.64 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah katanya, turut ditangkap dalam serbuan tersebut adalah seorang lelaki warga tempatan untuk membantu siasatan.

“Selain itu, sebuah lori bonded turut disita dalam serbuan tersebut,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily