Kastam Sarawak rampas minuman keras dan rokok seludup di Limbang

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) logo

LIMBANG, Julai 18: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 976,732 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai cukai sebanyak RM515,344.45 menerusi satu serbuan di Limbang pada Julai 14 lalu.

Pengarah JKDM Sarawak, Datin Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam serbuan sama, pihaknya juga merampas 6,326.37 liter minuman keras pelbagai jenama dengan nilai cukai berjumlah RM277,416.65.

Menurutnya, kejayaan serbuan itu adalah hasil daripada aktiviti perisikan yang dijalankan di sekitar kawasan Tedungan di mana kebanyakan premis di situ menjalankan aktiviti penjualan minuman keras dan rokok yang tidak sah iaitu berstatus ‘Malaysian Duty Not Paid’ (MDNP).


“Kita (JKDM) telah berjaya mengenalpasti beberapa premis kedai jualan makanan dan minuman di kawasan berhampiran dengan Pos Sempadan Kawalan Kastam Tedungan Limbang yang bertaraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ)

“Susulan itu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarawak telah membuat satu operasi khas di kawasan tersebut yang telah melibatkan anggota penguatkuasaan dari stesen Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sharifah Halimah memberitahu, hasil serbuan ke atas enam premis di kawasan berkenaan telah menghasilkan rampasan sejumlah besar minuman keras dan rokok yang disyaki belum lulus kastam dan berstatus MDNP.

Jelas beliau, nilai rokok yang dirampas sebelum cukai adalah sebanyak RM69,992.97, manakala bagi minuman keras pula ialah berjumlah RM100,401.52.

“Nilai keseluruhan harga kesemua rampasan sebelum cukai adalah berjumlah RM170,394.49, manakala nilai cukai pula sebanyak RM792,761.10,” ujarnya.

Dalam pada itu, JKDM Sarawak telah mengenalpati modus operandi yang digunakan pihak penyeludup di mana minuman keras dan rokok yang berstatus ‘MDNP’ dan tidak lulus kastam disyaki telah dibawa masuk melalui jalan laut dari Pulau Labuan.

Katanya, dagangan disyaki telah dibawa masuk melalui kaedah penggunaan bot-bot pancung yang dipunggah di kawasan tebingan Sungai Limbang.

“Minuman keras dan rokok yang diseludup masuk adalah untuk pasaran pelanggan tempatan di Sarawak dan penduduk dari negara jiran Brunei yang mengunjungi kawasan Tedungan.

“Operasi yang dijalankan merupakan inisiatif dalam membenteras penyeludupan dan penjualan komoditi yang tidak sah di kawasan dimaksudkan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pemilik-pemilik premis yang terlibat atau bersekongkol dengan aktiviti-aktiviti penyeludupan,” tegasnya lagi.

Sambil menambah, Sharifah Halimah menyeru orang awam untuk memberi kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barangan seperti rokok, minuman keras dan mercun.

“Orang awam boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. — DayakDaily