Oleh Dean Adam
MIRI, Mei 4: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus cukai menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Permyjaya, semalam.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, DatuK Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, serbuan dan rampasan rokok tersebut dilakukan pada pukul 9 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pasukan serbuan telah menjumpai sejumlah 308,000 batang rokok pelbagai jenama yang belum lulus Kastam.
“Nilai rampasan rokok berkenaan adalah sebanyak RM27,160 dengan anggaran jumlah duti RM225,523.20 yang disimpan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di parkir hadapan kediaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sharifah Halimah memberitahu, seorang suspek telah berjaya melarikan diri dari rumah kediaman tersebut selepas menyedari kehadiran anggota penguatkuasa.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 135 Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lama atau kedua-duanya.
“Orang awam juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat JKDM Sarawak 082-472133 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran,” katanya. — DayakDaily