Mercun, bunga api bernilai RM20,000 dirampas polis di Kuching

Pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi.

KUCHING, 22 Jan: Operasi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam membanteras kegiatan menjual mercun dan bunga api secara haram terus diperhebatkan.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata semalam sahaja pihaknya telah melakukan satu serbuan di pusat komersial Kenyalang Park, di Jalan Tan Sri Datuk Amar Sim Kheng Hong dan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai mencecah RM20,000.
Katanya, turut ditangkap dalam operasi tersebut ialah seorang lelaki warga tempatan berusia sekitar 20 tahun.
Rampasan dan tangkapan dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Ahsmon sementara itu turut memberitahu sehingga hari ini sebanyak telah meluluskan 35 lesen kepada peniaga di Kuching untuk menjual hanya 36 jenis bunga api yang dibenarkan.
Tegasnya, pemeriksaan akan dilakukan ke atas premis-premis tersebut untuk memastikan mereka hanya menjual bunga api yang dibenarkan di bawah Akta Bahan Letupan 1957(Akta 207). ― DayakDaily