Kastam rampas 1 juta batang rokok seludup

Rokok yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 6 Ogos: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas satu juta batang rokok putih disyaki tidak lulus cukai kastam dirampas di sebuah kedai makan di m Malihah Sentral pada Rabu lalu.

Pengarahnya Herman Abdullah berkata, serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching bersama Cawangan Siasatan Khas (CSK) Sarawak sekitar jam 11.40 pagi.

Menurut beliau, helah kedai makan yang dijadikan stor simpanan transit rokok seludup itu terbongkar selepas pihaknya menerima aduan dan maklumat daripada orang awam.


“Hasil intipan dan pemantauan selama hampir dua jam mendapati tiada sebarang aktiviti yang mencurigakan berlaku di premis tersebut menyebabkan pasukan operasi bertindak melakukan serbuan ke atas premis tersebut.

“Hasil serbuan ke atas premis yang dilakukan selepas itu akhirnya menjurus kepada penemuan 100 kotak yang mengandungi satu juta batang rokok putih melibatkan nilai rokok RM200,000 dan keseluruhan cukai RM680,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya juga, tiada sebarang pengakuan daripada mana-mana individu terhadap pemilikan barang tersebut.

“Siasatan juga akan dijalankan ke atas pemilik kedai berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan kedai kopi sebagai pusat simpanan rokok seludup sementara untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily