KUCHING, 22 SEPT: Usahawan Sarawak disaran lebih pro-aktif di dalam program-program mempromosikan barangan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais berkata, ia boleh membuka banyak lagi peluang peniagaan bukan sekadar di Malaysia malah ke luar negara.
“Dalam masa yang sama, usahawan harus memanfaatkan internet untuk aktiviti perniagaan bagi memudah segala urus-niaga serta mempromosikan produk mereka dengan cara yang lebih mudah dan lebih luas.
“Kita di Sarawak amat bersyukur kerana Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Digital Ekonomi ke Sarawak sejak dua tahun lepas,” kata Naroden.
Beliau ditemui pada Karnival Bumi Kenyalang (KBK) yang diadakan di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan.
Berhubung karnival tersebut, Naroden berkata ia mempromosikan barangan Sarawak ke pasaran Semenanjung.
Katanya, dalam tempoh tiga hari pertama program tersebut sebanyak RM160,000 telah diperolehi dari 29 peserta dari Sarawak.
“Kita pada mulanya hanya menjangka penjualan mereka akan mencecah RM80,000 namun pencapaian terkini amatlah memberansangkan,” tambahnya lagi. — DayakDaily