Nanta rasmi Karnival Best of Bumi Kenyalang di Nilai, Negeri Sembilan

Nanta (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Karnival Best of Bumi Kenyalang di Nilai, Negeri Sembilan.

KUCHING, 22 SEPTEMBER: Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Best of Bumi Kenyalang sempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Program Karnival Best of Bumi Kenyalang diadakan bermula 14 hingga 30 September 2020 bertempat di AEON Mall, Nilai, Negeri Sembilan dan melibatkan seramai 24 usahawan kecil dan sederhana.

KPDNHEP menerusi satu kenyataan hari ini berkata, program mensasarkan sebanyak RM350 ribu jualan keseluruhan dan yang kedua telah dianjurkan oleh AEON Mall.


“Antara produk yang boleh diperolehi adalah produk berasaskan makanan seperti ais krim gula apong, mee kolok, laksa Sarawak, lada hitam dan sebagainya.

“Manakala produk berasaskan kraftangan dan tekstil termasuklah tikar, barangan manik dan pelbagai jenis kraftangan turut didapati di karnival tersebut,”menurut kenyataan itu.

KPDNHEP berkata, objektif Program Karnival Best of Bumi Kenyalang adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara melalui pemulihan semula sektor ekonomi terutamanya sub-sektor peruncitan.

Katanya, sambutan 5 hari pertama amat baik dimana jualan telah pun mencecah lebih RM100 ribu manakala peniaga terpaksa membawa stok tambahan daripada Sarawak bagi memenuhi permintaan yang amat baik.

“Sebanyak lebih 3 tan bekalan telah dibawa daripada Sarawak dan jumlah ini dijangka akan bertambah mengambil kira tempoh karnival yang hanya tamat pada 30 September 2020.

“Sehubungan itu, kementerian mengalu-alukan kedatangan penduduk sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang bagi menjayakan program ini,” kata KPDNHEP.

Pada penganjuran pertama, program berjaya menjana jualan melebihi RM1.9 juta ringgit hanya dalam tempoh 2 bulan.

Program pertama adalah Program AEON Prihatin Bersama IKS dimana usahawan di bawah beberapa agensi kerajaan lain seperti MARA, KRAFTANGAN dan lain-lain diberi peluang untuk berniaga di dalam pusat membeli-belah AEON terpilih. — DayakDaily