Nanta: Program Karnival Bumi Kenyalang beri lonjakan kepada barangan Sarawak

Pengasas Syarikat Fatimah Amin, Mohd Amin (kanan) menerangkan produk berasaskan buluh kepada Nanta.

KUCHING, 22 Sept: Program Karnival Bumi Kenyalang yang diadakan di AEON Mall, Nilai, Negeri Sembilan capai jualan lebih RM100,000 dalam tempoh lima hari pertama.

Justeru, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi yakin sasaran jualan RM350,000 boleh dicapai.

“Program Karnival Bumi Kenyalang ini dilihat mampu memberi lonjakan berterusan kepada barangan buatan Sarawak dan sekali gus memberi kesan positif kepada usahawan kecil dan sederhana.


“Usahawan-usahawan kita terpaksa mengisi semula bekalan produk dan barangan berikutan sambutan dan permintaan luar biasa ini,” katanya semasa membuat ucapan di majlis perasmian karnival tersebut.

Program Karnival Bumi Kenyalang yang berlangsung dari 14 hingga 30 September 2020 diadakan bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang merupakan inisiatif bagi memulihkan ekonomi Malaysia.

Ia dilaksanakan menerusi kerjasama strategik di antara kerajaan pusat melalui KPDNHEP bersama-sama dengan kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Mintred) dan Perbadanan Ekonomi Sarawak (PPES).

Menurut Nanta, kerjasama ini adalah salah satu contoh bagaimana semua pihak mengembleng tenaga membantu usahawan kecil dan sederhana mengharungi cabaran ekonomi yang sukar ketika ini.

Melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) katanya, Kempen Beli Barangan Malaysia telah digerakkan semenjak awal Julai 2020 dan telah berjaya mengutip jualan melebihi RM1.9 juta ringgit hanya dalam tempoh dua bulan.

Dalam pada itu katanya, Program AEON Prihatin Bersama IKS merupakan program kedua oleh Kumpulan AEON bagi membantu usahawan kecil dan sederhana.

“Usahawan di bawah beberapa agensi kerajaan lain seperti Mara, Kraftangan (Kraftangan Malaysia) dan lain-lain turut diberi peluang untuk berniaga di dalam pusat membeli-belah AEON terpilih.

“Saya berharap usaha Kumpulan AEON ini dapat diteruskan bagi membantu usahawan kecil dan sederhana mengharungi tempoh sukar ekonomi sekarang.

“Malahan pihak AEON mungkin boleh mempertimbangkan capaian kepada pengguna diperluaskan melalui platform e-dagang AEON,” ujar Nanta. — DayakDaily