Kantoi mencuri coklat, lelaki ditahan polis Miri

Suspek kelihatan diikat di tiang lampu berhampiran kedai runcit terbabit.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Jan: Kantoi mencuri lima jenis coklat bernilai RM39.70 dari sebuah kedai runcit di Jalan Padang Kerbau petang Jumaat, seorang lelaki warga tempatan ditahan polis untuk membantu siasatan.

Kejadian disedari pekerja kedai runcit tersebut sekitar jam 5.20 petang.


Sebelum itu, suspek berusia 21 tahun tersebut kelihatan berjalan dalam keadaan mencurigakan dan dilihat telah memasukkan beberapa coklat ke dalam beg yang dibawanya.

Suspek cuba melarikan diri tanpa membayar barangan tersebut namun berjaya dikepung pemilik kedai dan empat pekerjanya.

Pihak polis kemudianya dimaklumkan kejadian dan telah datang untuk membawa suspek yang kelihatan telah diikat di sebatang tiang lampu jalan bersama sekeping kertas kotak bertulis “Saya Pencuri” digantung pada lehernya ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kea disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily