Covid-19: 4,029 kes baharu, tertinggi setakat ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 16 Jan: Malaysia hari ini merekodkan kes positif baharu Covid-19 harian tertinggi pernah dilaporkan dengan 4,029 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 4,021 kes tempatan dan lapan kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 155,095 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 37,126 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,466 kes. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 719 kes dan Sabah sebanyak 449 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,148 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 117,375 kes atau 75.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 205 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 79 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 594 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat lapan kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 6 kes warganegara dan 2 kes bukan warganegara.

“Empat kes kematian dilaporkan di Sabah dan masing-masing satu kes di Perak, Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Nor Hisham turut memaklumkan terdapat enam kluster baharu dikenalpasti hari ini iaitu Kluster Senai Cyber di Johor, Kluster Tembok Nanas (Johor), Kluster Jalan Sembrong (Johor).

Kluster Jalan Permata (Negeri Sembilan), Kluster Taman Juta (Perak) dan Kluster Kampung Lebu (Pahang). — DayakDaily