Kantoi curi buah kelapa sawit, dua lelaki ditahan di Batu Niah

Kedua-dua suspek (berdiri tiga dan empat dari kiri) ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Dis: Dua lelaki, disyaki mencuri buah sawit dari sebuah kebun berhampiran Jambatan Suai Niah pada Ahad (19 Dis) lalu, ditahan polis pada malam Selasa (21 Dis).

Kedua-dua lelaki berusia 29 dan 36 tahun itu ditahan sekitar jam 7.30 malam di Kampung Ogos Batu Niah, dalam satu serbuan dinamakan Ops Krismas.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, penahanan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri, susulan satu laporan daripada pemilik kebun tersebut selepas terlihat suspek membawa muatan buah sawit menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) keluar dari kebunnya sekitar jam 7 pagi.

Kerugian dianggarkan sekitar RM550.

Difahamkan, semasa kejadian, pengadu sempat mengejar kenderaan suspek sehingga ke ‘loading ramp’ Jambatan Suai.

Setiba di ‘ramp’ tersebut, pengadu sempat bertanya dari mana kedua-dua suspek menuai buah sawit tersebut.

Suspek hanya memberitahu buah tersebut diambil dari kebun majikannya.

Namun, apabila pengadu menanyakan perkara yang sama kepada pemilik kebun yang didakwa mengupah suspek untuk mengambik buah sawit tersebut, dia telah menafikan ada mengaji suspek, malah katanya buah sawit dari kebunnya sudah dua tahun tidak mengeluarkan buah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan. — DayakDaily