Pemuda mengamuk guna parang ugut ibu, ditahan polis

Anggota JSJ Miri berjaya menahan suspek (tiga dari kiri) setelah suspek cuba melarikan diri dengan menolak salah seorang anggota polis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Dis 22: Seorang lelaki yang mengamuk dan memecahkan cermin tingkap rumah ibunya di Kampung Tegageng Suai Batu Niah semalam (21 Dis), ditahan polis untuk tindakan lanjut hari ini.

Penahanan suspek berusia 41 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah kekerasan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Batu Niah.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan susulan laporan diterima daripada pengadu yang juga adik kepada suspek.

Difahamkan semasa tangkapan dilakukan, suspek telah menolak salah seorang anggota JSJ Miri dalam cubaannya untuk melarikan diri.

Tindakan pantas anggota berhasil menahan suspek.

Dalam kejadian pada Selasa (21 Dis), sekitar jam 5 petang, suspek dilaporkan telah mengamuk secara tiba-tiba dengan memecahkan cermin tingkap rumah ibunya sambil membawa sebilah parang.

Kejadian berlarutan sehingga jam 1.30 pagi (hari ini) hingga menyebabkan ibunya dan ahli keluarga yang lain ketakutan.

Turut dirampas semasa tangkapan dilakukan adalah sebilah parang berukuran 40cm panjang dipercayai telah digunakan dalam kejadian.

Suspek kini sedang ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. ā€” DayakDaily