KUCHING, 3 Feb: Dewi Farisha Fazliman yang sebelum ini terkandas di Filipina bersama dua anaknya kini pulang ke pangkuan keluarga di sini, tengah malam tadi.
Menurut laporan TVS, ibu tunggal berusia 25 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bersama dua anaknya Arwaa Aisy Fazeela Fazliman dan Aurora Aisy Fazrysha Fazliman pada jam 12 tengah malam.
Ketibaan tiga anak beranak itu disambut penuh emosi oleh ibunya, Sheryl Balisia Cabrera serta ahli keluarganya lain.
Meskipun keletihan ekoran menempuh perjalanan panjang dari Manila ke Kota Kinabalu sebelum tiba di Kuching, namun Farisha bersyukur dapat bersama keluarganya semula setelah sekian lama terpisah.
āPerjalanan yang panjang, penat dan letih kerana saya seorang bersama dua anak, mereka menangis semasa di lapangan terbang, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
āTetapi tidak apa, sekurang-kurangnya saya kini berada di tempat sendiri, saya pun gembira,ā katanya.
Sementara itu ibunya, Sheryl ketika ditemui menzahirkan rasa syukur kerana anak dan dua cucunya itu dapat pulang dengan selamat.
Sebelum ini Dewi Farisha bersama dua anaknya terkandas di Filipina sejak 2019 selepas pergi ke negara berkenaan untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit.
Bagaimanapun, pandemik COVID-19 telah menyukarkan kepulangan tiga anak-beranak itu susulan sekatan di pintu sempadan antarabangsa sehingga berdepan penalti puluhan ribu ringgit atas kesalahan tinggal lebih masa.
Dewi Farisha ketika itu menyewa bilik di Taytay di Rizal, Manila sebelum kisahnya dilaporkan media tempatan sehingga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. ā DayakDaily