Kanak-kanak OKU mati, dipercayai dipukul teman lelaki ibunya di Bau

Suspek dan ibu mangsa ditangkap untuk siasatan lanjut.
Advertisement

BAU, 5 Jan: Seorang lelaki ditangkap selepas dikatakan memukul anak teman wanitanya yang kurang upaya (OKU) sehingga mati dan mayatnya dibuang ke dalam hutan di Jalan Kranji, di sini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata mayat mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun ditemui kira-kira jam 6 petang semalam.

Katanya, penemuan mayat mangsa adalah selepas tertangkapnya suspek, 35 tahun di sebuah bengkel di Jalan Laksamana di Kuching.

Advertisement

“Suspek ditangkap sekitar jam 3 petang (4 Januari) dan hasil soal siasat, dia memberitahu telah memukul anak bongsu teman wanitanya sehingga tidak bernyawa dan membuang mayat mangsa di kawasan semak di Kampung Kranji.

“Pihak polis dipandu oleh suspek menunjukkan tempat membuang mayat mangsa dan ibu mangsa telah dibawa ke lokasi dan mengesahkan bahawa itu anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegangnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anggota polis melakukan siasatan di lokasi mayat mangsa dibuang.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Suspek bersama ibu mangsa kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar bulan Disember tahun lepas. — DayakDaily

Advertisement