Kakitangan awam diingatkan supaya tidak menjadi kakitangan parasit

Awang Tengah (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada kakitangan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli yang akan bersara di majlis penghargaan kementerian terbabit.

KUCHING, Feb 6: Semua kakitangan jabatan dan agensi dibawah kerajaan negeri diingatkan supaya tidak menjadi kakitangan parasit iaitu tidak mahu memahami dasar kerajaan negeri ketika ini dan tidak berkhidmat ke arah hala tuju mencapai dasar terbabit.

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian dan sehubungan itu mahu semua kakitangan tersebut supaya sentiasa memahami segala dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika ini.

“Kalau kita tidak memahami dasar diperkenalkan Ketua Menteri yang menjadi hala tuju kerajaan negeri, akan susahlah kita bekerja (sebagai kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri) dan kita seperti bekerja bersendirian, tanpa hala tuju tertentu dan kita menjadi (kakitangan) parasit,” katanya ketika menghadiri Majlis Penghargaan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, di sini, semalam.


Awang Tengah (duduk dua dari kanan) bersama kakitangan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli yang akan bersara di majlis penghargaan kementerian terbabit.

Awang Tengah berkata Ketua Menteri dalam tempoh 325 hari menjawat jawatan itu telah memperkenalkan pelbagai dasar baru yang perlu difahami kakitangan jabatan dan agensinya iaitu ekonomi digital, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Lembaga Pembangunan Hulu Rejang (URDA), Lembaga Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), dan Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Dasar lain ialah menaikkan kadar premium balak kepada RM50 per meter padu berbanding RM0.80, Projek Pembangunan Darul Hana, Sarawak Pay, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Smart Sarawak, Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS), RM1 bilion bagi membina sehingga 5,000 menara komunikasi di negeri ini dan Sistem Grid Air Negeri.

Sementara itu, beliau juga mendedahkan antara kejayaan Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli pada tahun lepas yang berkaitan dasar kerajaan negeri ialah penambahan kawasan Heart Of Borneo (HOB) dengan keluasan 600,000 hektar menjadikannya seluas 2.7 juta hektar.

Disamping itu, lebih 833,000 hektar tanah hak adat (NCR) selesai diukur Jabatan Tanah dan Survei secara perimeter dan sehingga 4.32 juta hektar kawasan hutan negeri ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal. — DayakDaily