Kaji semula tugas yang membebankan warga guru, kata KGBS

Ahmad Malie

KUCHING, Sept 5: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia agar mengkaji semula tugas warga pendidik yang membebankan.

Presiden KGBS, Ahmad Malie berkata, pihaknya juga berharap pihak kementerian berbincang dengan kesatuan guru bagi membincangkan isu berkenaan secara komprehensif.

Jelasnya, ini adalah kerana warga pendidik kini telah dibebani dengan tugas yang banyak khususnya yang tidak penting hingga boleh menyebabkan tekanan kepada mereka.


“Selain tugas mengajar, warga pendidik juga melakukan pelbagai kerja lain bagi memastikan kecemerlangan dalam aspek pelajaran serta kokurikulum.

“Justeru, pendekatan secara holistik perlu diambil kerana isu tekanan ini boleh memberikan kesan kepada warga pendidik,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek yang dipetik sebagai berkata kajian yang dilakukan terhadap guru menunjukkan 4.4 peratus daripada 48.258 responden atau kira-kira 2,000 guru mengalami tekanan tahap sederhana.

Antara faktor keadaan tersebut adalah situasi semasa keluarga, kewangan, pentadbiran atau bebanan tugas, kurang kemahiran dalam menjalankan tugas serta tidak dilatih menangani isu stres.

“Bagi mengatasi masalah ini, kementerian menyediakan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia yang bertugas di Pejabat Pentadbiran Daerah bagi membantu guru-guru mendapatkan khidmat kaunseling.

“Bilangan kaunselor yang ditempatkan, bagaimanapun belum mencukupi dan diharap dapat ditingkatkan lagi,” kata Maszlee.

Maszlee menambah, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menambah bilangan kaunselor dalam menangani isu berkenaan.

Jelasnya, pelbagai aktiviti bagi tujuan pembangunan, pencegahan dan intervensi telah dijalankan bagi menangani masalah stres dan kemurungan dalam kalangan guru.

“Antaranya program pengurusan konflik, pengurusan emosi dan program rakan perkhidmatan awam atau Akrab.

“Warga pendidik yang disahkan menghadapi masalah mental atau kemurungan oleh pakar perubatan akan ditempatkan dalam jawatan kumpulan bagi memudahkan mereka menerima rawatan sewajarnya,” katanya. — DayakDaily