Dua wanita cedera, kereta rempuh pam minyak

Kelihatan keadaan di sebuah stesen minyak di Sarikei.

SARIKEI, Sept 5: Dua wanita berdepan detik mencemaskan apabila sebuah kereta yang hilang kawalan telah melanggar mesin pam minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Repok, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu mengakibatkan dua pekerja masing-masing berusia 21 dan 39 tahun cedera akibat tercampak selepas turut dirempuh kereta Toyota Vios berkenaan.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku apabila seorang lelaki berusia 55 tahun yang memandu kereta berkenaan secara tiba-tiba menekan pedal minyak semasa ingin mengisi minyak.


Katanya, insiden itu telah mengakibatkan kereta berkenaan meluru ke hadapan lalu merempuh sebuah pam minyak dan mengakibatkan dua pekerja berkenaan terpelanting jatuh.

“Kejadian sama juga mengakibatkan kereta berkenaan melanggar sebuah Proton Ixora yang berada di depan Toyota Vios tersebut.

“Kedua-dua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya hari ini.

Sementara itu katanya, pihak bomba turut bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi selanjutnya. — DayakDaily