Kaedah urutan genom bantu kenalpasti sifat virus Covid-19

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 22 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan telahpun kaedah urutan genom atau ‘Genomic sequence’ untuk mencari punca-punca jangkitan Covid-19 atau penambahbaikan program kesihatan dan pencegahan wabak tersebut.

Bagaimanapun, kata Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kaedah tersebut tidak dilakukan ke atas semua kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

“Apa yang penting ialah kita melihat kepada kluster-kluster dan ini akan membantu kita dalam perancangan strategik KKM untuk membuat kesiapsiagaan dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan penyelidikan mengunakan kaedah tersebut bagi mengenalpasti mutasi yang berlaku dalam jangkitan di negara ini.

“Apabila kita mengambil sampel kita perlu pastikan sampel mencukupi iaitu kalau kita lihat nilai kitaran ambang atau ‘circle threshold’ itu rendah. Kalau rendah bererti ‘virus load’ itu tinggi barulah ujian urutan genom dapat dilakukan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata menerusi kaedah ujian itu juga, banyak mutasi virus Covid-19 di kesan dengan mutasi namun begitu mutasi daripada genom D614G yang dikesan pada Kluster Sivaganga mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi

“Daripada itu kita menjalankan kepada kluster yang lain iaitu Kluster Tawar dan Kluster Sungai dan mendapati terdapat perkaitan dengan genom D614G.

“Walaupun kita tidak dapat kaitan epidemiologi antara Kluster Tawar dan Kluster Sungai dengan Kluster Sivaganga tetapi dari segi urutan genom mengatakan virus tersebut adalah daripada virus yang sama,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, ujian menggunakan kaedah urutan genom secara dasarnya tidak membantu dalam membendung kebolehjangkitan Covid-19 namun ia membolehkan KKM menyediakan kesiapsiagaan untuk menghadapi dan mengawal jangkitan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti terdapat jangkitan itu.

“Keadah ini memakan masa yang agak panjang, dua hingga tiga minggu sebelum kita boleh kenalpasti satu-satu mutasi dan sebagainya. Jadi kita melihat kepada kluster atau strain-strain tertentu untuk kita mendapat maklumat mengenai sifat-sifat virus tersebut,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memberitahu sejumlah 847 kes positif baharu dilaporkan hari ini menjadi jumlah kumulatif menghampiri angka 24 ribu dengan 8,183 kes aktif.

“Hari ini juga lima kematian dilaporkan melibat empat warganegara dan seorang warga asing. Kesemua kematian tersebut dilaporkan di Sabah kecuali kes ke-200 yang dilaporkan di Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah menjadikan 204 kematian dilaporkan di seluruh negara sehingga hari ini,” katanya. — DayakDaily