KUCHING, 27 Julai: Kerajaan kini sedang meneliti kaedah dan model penyelenggaraan Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di Sarawak bagi yang tamat tempoh ‘Defect Liability Period’ (DLP).
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof, ia dilaksanakan bersama agensi pusat dengan mengambil kira skop, kos dan ‘Level Of Service’ (LOS) penyelenggaraan yang bersesuaian.
“Proses penelitian tersebut dijangka akan dimuktamadkan sebelum tempoh DLP tamat pada tahun 2025,” katanya di Persidangan Parlimen bagi menjawab pertanyaan MP Tanjong Manis Yusof Abdul Wahab hari ini.
Yusof bertanya apakah kerja-kerja penyelenggaraan itu akan diswastakan dan bagaimanakah syarikat penyelenggara itu akan dilantik.
Bagi pakej-pakej kerja dan seksyen yang telah siap dan masih dalam tempoh DLP, tambah Fadillah, penyelenggaraan akan dilaksanakan oleh kontraktor masing-masing.
Katanya, penyelenggaraan adalah di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku Pegawai Penguasa Projek.
Projek LPB Sarawak merupakan inisiatif kerajaan persekutuan untuk menambah baik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan raya di Sarawak.
Sehingga Mei 2022, status kemajuan Fasa 1 bermula dari Telok Melano ke Miri sepanjang 786km adalah 84 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2023.
Beberapa pakej dan seksyen telah dibuka untuk pengguna jalan raya secara berperingkat seawal tahun 2019. — DayakDaily