Kaedah pembayaran kontra RM1 bilion untuk sekolah daif Sarawak belum ada keputusan

Maszlee ketika ditemui media di Wisma Bapa Malaysia.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 24: Belum ada penyelesaian terhadap kaedah pembayaran kontra RM1 bilion bagi menangani isu sekolah daif di Sarawak.

Perkara ini dinyatakan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.


Namun demikian Maszlee mengatakan yang penyelesaian terhadap isu itu akan diumumkan bila tiba waktu nya.

“Perbincangan hari ini adalah berkaitan dengan peruntukkan RM1 bilion yang Sarawak bayar hutang untuk dikembalikan pada kerja pembaikkan sekolah daif di Sarawak.

“Perbincangan secara menyeluruh berkenaan dengan perlaksanaannya diadakan sebentar tadi,” kata Maszlee.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Abang Johari (tengah) menerima kunjungan Maszlee (tiga kiri) serta rombongan di Wisma Bapa Malaysia. Turut kelihatan Manyin (tiga kanan).

Terdahulu kerajaan negeri telah pun mengemukakan rayuan kepada kerajaan persekutuan agar menerima kaedah pembayaran kontra RM1 bilion bagi menangani isu sekolah daif di Sarawak.

Kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan telah menolak kaedah bayaran kontra tersebut.

Kerajaan pusat mahu RM1 bilion sebagai bayaran pendahuluan pinjaman kerajaan negeri dan bukan kaedah kontra seperti dipersetujui diantara Abang Johari dan Maszlee pada Februari lalu.

Terdapat 1,020 buah sekolah daif di Sarawak dengan 415 daripadanya adalah kritikal daif. — DayakDaily