Kadar inflasi Sarawak 2.6 peratus setakat Ogos 2022

Abang Johari berucap semasa persidangan DUN di Kuching hari ini (21 Nov 2022). Tangkap skrin dari 'live stream' Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Nov: Kadar inflasi Sarawak meningkat dari 1.9 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 kepada 2.6 peratus bagi tempoh yang sama tahun 2022.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ia adalah kesan daripada kadar inflasi yang tinggi terhadap segmen makanan dan minuman bukan alkohol.


Katanya, gangguan terhadap rantaian bekalan makanan dan kenaikan harga komoditi dan makanan telah mengakibatkan kenaikan kepada kos pengeluaran dalam pelbagai industri.

“Secara keseluruhan, inflasi Sarawak dijangka pada kadar 2.5 hingga 3 peratus dalam tahun 2022,” kata Abang Johari dalam Perbentangan Belanjawan 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasaran buruh di Sarawak terus menunjukkan peningkatan dalam tahun ini.

Ujar Abang Johari, kadar pengambilan pekerja dan jumlah tenaga buruh meningkat pada suku kedua 2022.

“Berikutan unjuran positif di pelbagai sektor ekonomi, pasaran buruh di Sarawak bagi tahun 2022 secara keseluruhan dijangka berdaya tahan.

“Kadar pengangguran dijangka kekal sekitar 3.0 hingga 3.5 peratus pada 2022,” kata Abang Johari.

Dalam ucapan yang sama, beliau berkata pendapatan Sarawak bagi tahun 2022 yang dijangka sekitar RM10.036 bilion kini telah di semak semula dan dinaikkan kepada RM10.159 bilion.

Ia adalah berdasarkan kenaikan harga minyak dan gas termasuk harga minyak sawit mentah yang memberansangkan.

Jelas Abang Johari, sejumlah RM9.695 bilion bersamaan 95 peratus daripada unjuran pendapatan telah diperolehi oleh kerajaan Negeri. — DayakDaily