JWKS tubuh task force bantu usahawan wanita dan belia dapatkan lesen perniagaan

Fatimah pada sidang media di Wisma Wanita di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Jun: Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) menubuhkan task force pendaftaran lesen dan permit perniagaan bagi membantu usahawan wanita dan belia negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ia bagi memastikan usahawan wanita dan belia mendaftar perniagaan mereka dan memperolehi lesen atau permit.


Katanya, dengan adanya lesen ini, mereka boleh menikmati pelbagai program bantuan yang disediakan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dari Kerajaan Persekutuan dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dari Kerajaan Negeri.

ā€œKajian yang dilakukan JWKS mendapati tidak semua usahawan mendapat manfaat daripada BKSS dan BPN.

ā€œJWKS berpendapat sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dalam usaha membantu usahawan wanita ini,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Task Force Usahawan Wanita di Wisma Wanita di sini, hari ini.

Menurut beliau, kajian mendapati seramai 105 responden yang merupakan usahawan wanita tidak layak menerima BKSS dan BPN kerana mereka tidak memiliki lesen perniagaan.

Mengambil contoh permohonan BKSS dari Dalat, Fatimah berkata hanya 88 permohonan iaitu 9.7 peratus sahaja diluluskan daripada keseluruhan 903 permohonan.

ā€œManakala bagi Daerah Subis, daripada 829 usahawan yang tidak memiliki lesen perniagaan, 552 orang iaitu 67 peratus merupakan usahawan wanita,” katanya.

Tambah Fatimah, task force pendaftaran lesen dan permit perniagaan ini akan menjelajah ke seluruh bahagian di Sarawak dan dimulakan di Kuching pada Julai ini.

Ujar beliau, task force yang dianggotai pegawai dari pelbagai agensi kerajaan itu akan memberi taklimat berhubung keperluan dan kepentingan perniagaan berlesen.

Kerajaan Persekutuan menerusi BPN memberikan RM3,000 untuk setiap pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Manakala Kerajaan Sarawak menerusi BKSS 2.0 telah memberikan Dana Khas yang berjumlah RM1,500 kepada 65,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). -DayakDaily