JWKS: Geran usahawan wanita ditukar kepada modal pusingan bernilai RM2,000

Noriah Ahmad

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Jun: Geran usahawan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) ditukarkan kepada bentuk tunai iaitu modal pusingan bernilai RM2,000 setiap seorang.

Pengarah JWKS Noriah Ahmad berkata, ia bagi membantu usahawan wanita Sarawak yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  telah bersetuju bagi menukarkan geran usahawan JWKS kepada bentuk tunai iaitu modal pusingan bernilai RM2,000 bagi seorang usahawan wanita Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai mesyuarat task force usahawan wanita di Wisma Wanita di sini, hari ini.

Mesyuarat telah dipengerusikan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Keputusan untuk menukarkan geran tersebut kepada bentuk tunai dibuat setelah kajian impak Covid-19 dilakukan terhadap usahawan wanita Sarawak.

Menurut Noriah, seramai 295 orang (71 peratus) daripada 415 responden usahawan telah mengalami masalah kewangan untuk meneruskan perniagaan mereka.

“Manakala seramai 234 orang iaitu 56 peratus usahawan telah hilang punca pendapatan semasa PKP fasa 1 sejak 18 Mac, 2020 yang lepas yang menunjukkan bahawa modal pusingan perniagaan merupakan keperluan mendesak mereka pada waktu ini.

“Mereka memerlukan modal pusingan untuk meneruskan perniagaan,” ujar Noriah.

Mengulas lanjut, Noriah berkata antara syarat untuk memohon geran tersebut ialah pemohon mesti wanita berusia 18 tahun dan ke atas dan pemastautin tetap Sarawak.

Bantuan yang diberikan adalah bernilai RM2,000 bagi setiap usahawan.

“Penerima bantuan dikehendaki mengemukakan laporan perniagaan yang dijalankan kepada pihak urusetia JWKS selepas tiga bulan penerimaan,” katanya.

Abang Johari pada sempena Program Voices To Be Heard anjuran JWKS pada Ogos lepas telah meluluskan sejumlah RM2 juta bagi tujuan geran usahawan JWKS bagi tahun 2020 yang berbentuk peralatan dan kelengkapan perniagaan.-DayakDaily