Jururawat diperdaya sindiket ‘love scam’ kerugian RM51,300

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

MIRI, 7 Nov: Seorang jururawat wanita berusia 43 tahun di sini kerugian RM51,300 selepas dipercayai telah diperdaya sindiket ‘love scam’ atau penipuan.

Ketua polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata wanita terbabit berkenalan dengan suspek yang kononnya tinggal di Melbourne, Australia melalui Facebook sejak November tahun lalu.

“Perhubungan itu kemudiannya semakin mesra sehingga suspek hendak datang ke Sarawak untuk melamarnya sebagai isteri,” ujar Lim.


Bermula 17 Jun sehingga 28 Julai tahun ini, mangsa telah melakukan transaksi sebanyak RM51,300 ke dalam sebuah akaun bank, selepas suspek mengatakan telah ditahan pihak Kastam kerana membawa sejumlah wang yang banyak iaitu USD500,000.

“Pihak yang mendakwa dirinya dari Kastam telah menghubungi pengadu melalui talian memperkenalkan diri sebagai ‘Suraya’ dan mengarahkan mangsa membayar bayaran sebagai pelepasan rakan pengadu tadi,” jelas Lim.

Akur, pengadu telah membuat beberapa transaksi ke akaun Hong Leong Bank.

Bagaimanapun, mangsa merasakan dirinya ditipu kerana diarahkan untuk melakukan beberapa lagi bayaran, katanya.

Satu laporan polis telah dibuat mangsa pada 5 November. — DayakDaily