Jualan program Beli Barangan Malaysia catat RM3.3 bln pada 2020, lebih RM145 juta dari jualan atas talian

Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 18 Okt: Program Beli Barangan Malaysia (KBBM) telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM3.3 bilion dengan melibatkan sebanyak 326,154 ‘stockkeeping unit’ (SKU) bagi sektor peruncitan pada tahun 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah jualan ini menunjukkan peningkatan daripada nilai jualan sebanyak RM2.87 bilion dengan 279,001 SKU yang dicatat pada tahun sebelumnya.

“Portal dalam talian ‘marketplace’ pula telah mencatatkan peningkatan jualan yang amat besar pada tahun 2020 berjumlah RM145.75 juta berbanding RM6.84 juta pada tahun 2019.


“Peningkatan yang ketara ini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mana menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia berbelanja secara dalam talian,” katanya dalam satu jawapan untuk pertanyaan lisan dalam sesi Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, antara inisiatif KBBM bagi tahun ini yang telah dirancang dan sebahagiannya telah pun dilaksanakan adalah Inisiatif Pemerkasaan Produk Tempatan Di Dalam Industri Peruncitan Tempatan, Inisiatif Penembusan Produk, Promosi Jualan dan Pemasaran Dalam Talian (Online) serta Inisiatif Promosi dan Pengiklanan Barangan Buatan Malaysia.

Kementerian juga telah mengadakan kerjasama strategik bersama tiga buah penyedia platform dalam talian (marketplace) yang mempunyai jumlah pengunjung tertinggi di Malaysia iaitu Shopee, Lazada dan PG Mall.

Hasil kerjasama strategik itu adalah pembuatan ‘landing page’ khusus untuk KBBM dengan menempatkan pelbagai kategori produk tempatan untuk memudahkan pencarian dan pembelian, penyediaan diskaun dan kupon untuk produk tempatan selain pelbagai promosi berbentuk digital dan baucer ‘free shipping’ kepada jenama produk tempatan. — DayakDaily